Amaran: INI ADALAH CERPEN YANG MENGAMBIL MASA 5 - 10 MINIT.
"Tina, nape kau bagi dia pinjam kete", terbongkar juga soalan yang terpendam di hati Mila sejak berjalan keluar dari pejabat lagi. "Aku bukan nak bagi pun sebenarnya. Tapi dia main ambil je kunci kereta dari tangan aku. Lepas tu aku macam tergamam tak tahu nak kata apa. Sorry la wey..", pujuk Tina. "Ee selamba je dia tu. Lepas tu tak fasal-fasal kita yang kena jalan kaki balik", geram sungguh Mila dengan perangai sahabat mereka yang seorang itu.
"Nampak macam sedap je buah ni", Tina cuba mengubah topik perbualan tatkala mereka melalui sebuah warung buah. Tina kemudian membeli sepotong jambu dan mereka meneruskan perjalanan. "Eh, tu macam Lidya (bekas rakan sekolah Mila). Dia mesti tahu bas apa yang kita kena naik untuk balik rumah", tegur Mila ketika ternampak kelibat Lidya di seberang jalan. Mereka melajukan langkah kaki apabila melihat Lidya seperti menahan sebuah bas untuk menaikinya. Sesampainya mereka di seberang jalan, hampa hadir di benak hati keduanya apabila bas mulai meninggalkan mereka. "Aduh, macam mana ni? Hari pun dah gelap.. Nak naik bas apa pun tak tahu", Tina mengadu. Tina kemudian menahan sebuah kereta untuk bertanya bas apa yang perlu mereka naiki. Nasibnya seakan bergemerlapan apabila empunya kereta mempelawa untuk menghantarnya pulang memandangkan dia dan seorang lagi sahabatnya turut menghala ke arah yang sama. Walaubagaimanapun, Mila berasa sangsi untuk menumpang mereka. Dia yang sememangnya sukar untuk percaya pada orang asing mula membayangkan perkara yang bakal berlaku. "Tina, tak beranilah nak tumpang. Betul ke diorang ni? ", bisik Mila. "Habis tu takkan kau nak tunggu je kat sini? Tak nak lah aku.. Kalau kau nak tunggu, tunggu lah. Aku nak tumpang diorang", balas Tina. Mila masih tetap dengan pendiriannya dan membiarkan mereka berlalu.
Lalu lintas yang agak sunyi dan lampu jalan yang agak malap membuatkan hati Mila serba tidak kena. Tambah lagi apabila dia terlihat seorang lelaki warga asing berjalan nun di seberang jalan. "Ish lambat pulak bas ni. Bilanya nak sampai..", Mila bermonolog sendirian. Mila kemudiannya membuat keputusan untuk menelefon Tina dan menyuruh mereka berpatah balik untuk mengambilnya. " Assalamualaikum Tina. Korang dah jauh ke? Patah balik boleh tak? Aku takut pulak sorang-sorang ni", kemudian Mila mendengar Tina seakan berbincang dengan dua jejaka yang menumpangkannya. "Nasib kau baik. Kitorang belum jauh lagi. Kau tunggu jap, nanti kitorang sampai", jawab Tina. Tak lama kemudian, mereka pun tiba di perhentian bas tersebut. Lega hati Mila melihat kedatangan mereka. Dalam hati dia memanjatkan kesyukuran. Namun, rasa sangsinya pada kedua-dua jejaka itu masih lagi bertapa di hati. Perjalanan diteruskan sambil Tina berborak kosong bersama mereka untuk memecahkan rasa kecanggungan. Tina memang seorang yang peramah, sebab itulah semua orang suka bersahabat dengannya. Tiba-tiba kereta yang mereka naiki menuju ke lorong gelap. Degupan jantung Mila mula bergerak pantas mengepam laju darah yang membawa oksigen ke seluruh badan. "Korang nak ke mana ni? ", Mila cuba mengawal suara supaya rasa sangsinya tidak dihidu oleh mereka sambil cuba membuka pintu. Malangnya pintu masih tidak boleh dibuka walaupun butang kekuncinya sudah ditarik. "Aduh, jangan kata childlock pulak", getus hatinya. Dia cuba lagi menarik tinggi butang kekunci dan berjaya membuka pintu. Mila mengajak Tina lari lalu membuka seribu langkah meninggalkan Tina dan komputer ribanya yang masih di dalam kereta tersebut. Biar hilang harta, jangan hilang maruah, fikir Mila.
Sangkaan Mila mengenai niat buruk dua jejaka itu ternyata memang benar. Beberapa orang lain yang tiba-tiba keluar dari lorong sunyi itu mengejar Mila. Harapan Mila seakan menyinar apabila tiba di kawasan pasar lambak (flea market). Dia mula menjerit meminta tolong sambil melajukan lagi larinya, malangnya tak siapa pun yang peduli. Mila menyelit ke kiri dan ke kanan untuk meloloskan diri dari penjahat-penjahat tersebut. kemudian dia berhenti di celah-celah orang ramai dan mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangan yang dibawa bersama ketika keluar dari kereta. Pada awalnya dia terdetik untuk menelefon Azrul kerana dulu Azrul juga yang berjaya menyelamatkannya dalam situasi begini. Namun, memikirkan Azrul jauh di Klang, pasti Mila perlu menunggu lama untuk Azrul menjemputnya. Lalu Mila menghubungi mamanya. "Assalamualaikum, mama, mama kat KL ke? Mila kat area Jalan Tar ni. Mama boleh tolong ambil Mila tak?", soal Mila dengan penuh harapan. "Waalaikumussalam. Mama kat kampung la Mila", jawab suara di talian. "Hmm tak pe la mama. Nanti Mila cuba tanya kawan", punah harapannya. "Okay, Mila hati-hati ye", talian dimatikan. Hati Mila mula berdegup laju semula dan dia serta merta memandang ke sekeliling kalau-kalau penjahat itu masih mencarinya. "Ooo Mila ye...", tiba-tiba lelaki berbadan tegap yang tidak jauh darinya bersuara sambil tersenyum nakal. Mila mula menjerit meminta tolong lagi tetapi orang ramai masih lagi tidak mengendahkannya. Tiba-tiba Mila terlihat kelibat papanya. "Papa! tolong Mila, papa. Papa, tolong Mila!", sambil menjerit pada lelaki dihadapannya, Mila sempat mengamati papanya. Papa kelihatan lain. Badannya sihat seperti dulu-dulu. "Siapa Papa kau?", lelaki berbadan tegap tadi cuba mencapai tangan Mila. Pengamatan Mila mati, lantas teringat papanya sudah tiada. Dia berjaya meloloskan diri dari pegangan lelaki itu dan terus berlari sambil melihat ke arah lelaki yang seiras papanya. Mukanya benar-benar sama seperti papa. Kemudian, Mila tiba di bahu jalan, dia terus menahan sebuah teksi. Dia terus menaiki teksi dan memberitahu hala tujunya. Seperti biasa, hatinya akan berasa sangsi terhadap pemandu teksi. Mila tak punya pilihan lain selain bertawakal pada Allah. Dia berdoa sepanjang jalan agar Allah melindunginya. Dengan izin Allah, dia selamat sampai di rumah.
Love, Bulan
P/s: Nama yang digunakan bukan nama sebenar. #nightmare
No comments:
Post a Comment